11/03/2019
Usaha untuk membangunkan semangat keusahawanan ini bukan kerja senang. Setiap hari kita semua sibuk dengan urusan sendiri. Aku tidak terkecuali, aku juga sibuk dengan urusan bisnes sendiri. Itu belum masuk hal-hal bermasyarakat, layan keluarga dan urusan lain.
Tetapi atas kesedaran dan atas satu maksud perjuangan. Aku juga cuba mencari ruang untuk mencakna minda orang lain supaya ada kesedaran tentang keusahawanan dan segera usahakan sesuatu. Aku jadikan ini satu cara dakwah dengan gaya aku sendiri.
Dulu, sewaktu zaman kita di kampus, zaman kita muda remaja, tiada siapa pun mahu ambil port bab usaha berniaga ni. Namun, setelah beberapa ketika. Rakan-rakan lama mula mencari aku dengan satu soalan. Mereka mahu jawapan.
“ Boleh ajar aku berniaga bro ? Aku rasa sekarang aku kena buat sesuatu. Pendapatan makan gaji saja tidak cukup. Boleh bro ? “
Ya. Lebih kurang begitulah. Mana tidaknya, mungkin sewaktu bujang, gaji bersih RM3,000 itu amat besar. Keluar kereta Honda dan menyewa kondo pun masih tidak terasa peritnya. Sekarang, bila sudah berkahwin dan anak semakin membesar, gaji RM5,000 sebulan pun masih terasa kecil.
Tak perlu sentap. Ini bukan sesi perli hidup orang. Ini cuma bingkisan cerita-cerita rakyat yang benar-benar terjadi di luar sana. Benar, semuanya akan bermula dengan satu kesedaran. Semuanya akan bermula apabila ada ‘satu sebab’. Selagi sebab itu tidak wujud, selagi itu kita tidak merasakan ikhtiar keusahawanan ini penting.
Kos sara hidup akan semakin meningkat. Harga barang, harga minyak, harga rumah, harga tarif elektrik dan segalanya akan naik dan terus naik. Seluruh dunia pun begitu, nilai wang semakin hari semakin kecil. Ini bukan salah kerajaan lagi, ini hakikat yang perlu kita terima. Tak usah terlalu mempolitikkan hidup kita. Ini kebenaran yang perlu kita hadap.
Kawan, sekarang kita kena fikir bagaimana kita boleh majukan ekonomi hidup kita. Seterusnya majukan ekonomi keluarga kita. Kemudian, kita fikir bagaimana boleh bekerjasama untuk majukan ekonomi kampung kita. Proses ini akan membesar. Ia akan menjadi ‘snowball effect’. Usaha kecil yang bermula dengan diri kita akan berakhir besar.
Orang Kemboja, Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, China dan segala macam bangsa yang datang ke Tanah Melayu satu ketika dahulu pun hidupnya susah juga. Tapi dengan satu kesedaran, mereka gigih usahakan sesuatu. Akhirnya keturunan mereka berjaya dan menikmati hasilnya. Mereka sedar mereka orang yang berhijrah, mereka perantau. Mereka bukan berada di dalam ‘comfort zone’.
Aku selalu cakap, usaha takkan membohongi hasil. Kau rajin, kau akan dapat nikmati hasilnya. Mulakan usaha kecil dahulu. Rugi tak apa, gagal tak apa. Itu semua guru yang paling jujur mendidik kita. Pokok pangkalnya usahakan dulu. Belajar payah dahulu. Tak usah dengar cerita sedap fasal bisnes orang lain. Gagal itu guru paling jujur. Dari situ kita bangkit dan terus terbang tinggi.
Namun kawan, impian akan kekal jadi impian tanpa sebuah pengorbanan. Mana mungkin tanam benih padi akan tumbuh lalang. Pupuk dan bentuklah pemikiran kita dari sekarang. Kitalah yang berhak meraih kejayaan dan kebahagiaan untuk diri kita. Bukannya orang lain.
Please, tolong buat sesuatu sekarang. Berubah dan terus berubah.
Ikram Al-Banjari
Saudagar Jalanan
Anak Malaysia yang sayangkan masa depan Bangsa, Agama dan Negara.