16/09/2026
Sempena Hari Malaysia yang bersejarah, kita soroti semula sejarah awal ciptaan TuneBoss. Berikut adalah tulisan asal pengasas TuneBoss, Farhan Ali pada 16 September 2020...
Hari Malaysia. Aku sangat bersyukur kerana dapat bercuti pada hari ini. Teringat p**a peristiwa bersejarah bagi diri sendiri. Akhir tahun 2013. Cuti? Tiada dalam kamus. Syarikat dalam keadaan tenat, banyak duit dibelanjakan untuk R&D ECU kami. Memerah akal mencari penyelesaian siang dan malam. Memang penat. Dalam waktu yang getir ini, ada orang menghubungi aku. Datang memberikan penyelesaian mudah, pada zahirnya. Dia ada set ECU lengkap, hanya perlu tampal jenama kami sendiri. Banyak jenama lain menggunakan ECUnya.
Panjang perbincangan dengannya. Bersungguh dia memujuk aku. Goyang? Sudah pasti. ECU sendiri jauh lagi nak siap. Tawaran yang diberikannya cukup menarik. Tekanan kerja kami akan berkurang. Perbelanjaan juga pada yang pasti keuntungannya. Jika aku memilih jalan pintas ini, hutang wang pasti kurang. Tetapi hutang teknologi p**a amat banyak - kami bergantung sepenuhnya kepada produk syarikat asing. Sebagai perekacipta, hutang teknologi ini bagaikan menerima satu penjajahan. Mengaku kalah dan menjual jati diri demi wang ringgit. Namun begitu, kesempitan wang kadang kala mendesak diri kita untuk membuat keputusan yang pendek akal.
"Teruskan, sehingga anda rasa tidak berbaloi lagi usaha anda", katanya.
Tidak berbaloi, katanya. Aku merenung kembali tujuan aku memulakan perjalanan ini. Impian aku untuk membina syarikat teknologi yang hebat. Tempat di mana orang kreatif akan dihargai dan diberi kebebasan untuk merealisasikan idea mereka. Tempat di mana duit hanyalah hasil daripada produk yang inovatif dan bukan matlamat utama. Sekiranya aku sendiri tidak menjiwai prinsip ini, wajarkah aku meminta yang sama daripada rakan seperjuangan aku? Di manakah inovatifnya produk kami jika ianya hanya "rebrand" produk lain? Di manakah jati diri kami sebagai syarikat teknologi jika kami tidak menghasilkan teknologi sendiri?
Jawapannya mudah, menghilangkan keraguan aku. Semangat aku berkobar semula. "Satu hari nanti, kamu yang akan beli ECU kami yang unggul untuk kajian" bisik hati aku. Maka kami pun menggandakan usaha demi mencapai matlamat. Pinjamlah duit dari mana yang dapat. Dari mula R&D (2010) sehinggalah ECU TuneBoss siap (2014), jumlah yg aku laburkan sekitar RM400k. Ini belum termasuk duit yang rakan kongsi aku laburkan. Dalam RM50k dari duit simpanan aku sewaktu bekerja dahulu. Yang selebihnya dari pinjaman demi pinjaman.
Alhamdulillah, usaha kami berhasil dengan terciptanya ECU TuneBoss. Teknologi terasnya rekaan kami sendiri. Maka terbayarlah segala pedih keringat bersengkang mata selama 4 tahun. TuneBoss mendapat sambutan yang baik, jadi terselamatlah aku daripada diisytiharkan bankrap. Tahun 2020 ini barulah aku habis bayar segala pinjaman dan personal loan yang aku ambil untuk memastikan kelangsungan syarikat. Yang pinjam dari keluarga tu... aku minta moratorium dengan alasan zaman Covid yang amat mencabar ni hahah.
Kepada semua yang sedang berjuang untuk membina impian anda, khususnya kepada perekacipta lain di luar sana, jangan putus asa. Jangan terpedaya dengan jalan pintas yang pasti ada jeratnya. Semoga kita semua berjaya tanpa memperjudikan prinsip dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
Selamat Hari Malaysia!