31/07/2025
KES PERBICARAAN NAJIB RAZAK, TAN SRI ABDUL RAHMAN SEBLI DEDAH TEKANAN DAN CEMUHAN HANYA KERANA TEGAS MENJAGA MARUAH INSTITUSI KEHAKIMAN.
SHAME ON YOU MEIMUN.
KUALA LUMPUR – Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli mendedahkan mengenai tekanan dalaman yang pernah dihadapinya semasa menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga hampir menggugat kebebasan penghakiman beliau.
Beliau mengimbau peristiwa tersebut ketika berucap pada majlis perpisahan sempena persaraannya di hadapan rakan hakim, pegawai mahkamah dan tetamu kehormat di Kuching, pada Rabu.
Abdul Rahman menyentuh satu episod sewaktu beliau menganggotai panel tujuh hakim dalam satu kes perlembagaan berprofil tinggi pada tahun 2021.
“Saya diminta untuk ‘toe the line’. Malah deraf penghakiman saya dikritik secara kasar, sehingga digelar ‘hypocritical’. Namun saya tidak berganjak dari pendirian saya,” katanya.
Beliau menjelaskan, sebelum keputusan itu diumumkan, beliau telah menyediakan satu deraf penghakiman dan mengedarkannya kepada enam ahli panel yang lain – satu amalan standard di Mahkamah Persekutuan.
Namun, tidak lama selepas itu, beliau menerima satu e-mel daripada seorang hakim kanan yang mengkritik keras pandangannya, malah menggunakan bahasa sinis dan condescending.
“Saya ketika itu hanyalah Hakim Mahkamah Persekutuan, bukan lagi Hakim Besar. Jadi dari segi hierarki, saya lebih junior berbanding mereka yang memberi tekanan. Deraf saya malah digelar ‘hypocritical’,” katanya.
Walaupun berasa tidak selesa dengan tekanan tersebut, beliau tetap berpegang teguh kepada penghakiman asalnya bahawa isu perlembagaan yang dibangkitkan dalam kes itu sepatutnya memihak kepada Kerajaan Persekutuan dan bukannya pihak litigant.
Namun tekanan tidak terhenti di situ. Abdul Rahman mendedahkan bahawa beliau terdengar salah seorang hakim kanan membisikkan kepada rakan panelnya untuk “crack the whip” ke atas mereka yang tidak bersetuju.
“Saya boleh bayangkan rasa sakitnya kalau betul-betul dirotan sampai patah rotan,” katanya sinis terhadap tekanan luar biasa yang dihadapinya dari dalam institusi sendiri.
Sebelum berkongsi insiden dramatik itu, Abdul Rahman terlebih dahulu berkongsi tentang prinsip yang menjadi teras kerjaya kehakimannya selama 17 tahun.
“Sepanjang kerjaya saya, saya mengendalikan kes yang mencabar bukan sahaja logik tetapi juga pertimbangan moral saya. Ada yang mendapat liputan meluas, ada yang berlalu senyap. Namun kesemua itu mengingatkan saya setiap insan yang hadir di mahkamah, sama ada kaya atau miskin, berhak dilayan dengan adil, bermaruah dan penuh hormat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa belas kasihan bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan dalaman yang membezakan seorang hakim yang baik.
“Hakim yang terbaik adalah yang mampu mendengar seikhlas hati seperti mana dia membuat keputusan dengan berani. Kita mesti tegas tanpa menjadi kasar, dan sopan tanpa kelihatan lemah,” katanya.
Walaupun beliau berjaya meyakinkan tiga lagi ahli panel dan membentuk keputusan majoriti 4-3, keputusan itu tidak bertahan lama. Ia kemudiannya dibatalkan oleh panel tiga hakim baharu – dua daripadanya merupakan hakim minoriti asal.
Ironinya, penghakiman baharu itu ditulis oleh hakim yang sebelum ini membangkang keputusan majoriti.
Lebih mengejutkan, katanya, satu rancangan telah dimulakan untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beliau dan dua hakim lain yang menyokong keputusan asal. Beliau percaya hanya campur tangan Ilahi yang menggagalkan cubaan untuk menubuhkan tribunal terhadap mereka.
“Jika tidak, mungkin saya sudah bernasib seperti bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan,” katanya merujuk kepada tindakan disiplin ke atas hakim bebas terdahulu.
Abdul Rahman berkata, tindakan mencuba menekan hakim agar mengikut kehendak rakan sejawatan lebih tinggi bukan sahaja menyalahi etika, malah menodai prinsip asas kebebasan kehakiman.
“Kita sering bercakap tentang campur tangan eksekutif. Tetapi lebih berbahaya apabila hakim ditekan oleh rakan sejawatan sendiri. Itu adalah bentuk gangguan yang tidak boleh diterima.
“Mahkamah tidak akan benar-benar bebas jika ‘pedang Damocles’ sentiasa tergantung di atas kepala hakim.,” katanya.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga mahkamah serta komuniti guaman Sabah dan Sarawak atas sokongan dan kerjasama mereka sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Beliau juga memuji tindakan Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, kerana mengamalkan prinsip integriti apabila menarik diri daripada satu kes atas faktor persepsi awam iaitu satu tindakan yang disifatkannya sebagai lambang integriti dan teladan kepimpinan tertinggi kehakiman.
“Kepada semua hakim dan pesuruhjaya kehakiman, saya mohon – pertahankan Perlembagaan. Ikut kata hati nurani anda. Tuhan akan bersama anda jika anda berani buat yang betul,” pesan beliau.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyampaikan pantun Iban yang menyentuh hati para hadirin:
“Pedih berserara’ nyiru ke ati, Kitak magang tetap dikenang.”
(Sedih berpisah menusuk ke hati, kalian semua tetap dikenang.)
Khamis, 24 Julai 2025 menandakan hari terakhir Tan Sri Abdul Rahman Sebli dalam badan kehakiman. Namun legasi keteguhan prinsip dan keberanian moral beliau pasti akan terus dikenang dalam sejarah kehakiman Malaysia. – MalaysiaGazette