13/06/2026
TIADA V**E MENGANDUNGI BAHAN TERLARANG DIKESAN DI 98 PREMIS DI SARAWAK
KUCHING, 12 Jun – Tiada bahan terlarang dikesan dalam v**e yang diperiksa di 98 premis v**e di seluruh Sarawak menerusi Op V**e 1.0 yang dijalankan baru-baru ini.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan dari 13 hingga 17 April lalu dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM Kontinjen Sarawak, Supritenden Lim Jaw Shyong berkata, pemeriksaan dilakukan berdasarkan maklumat risikan terhadap premis v**e yang dikenal pasti di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, operasi tersebut dilaksanakan susulan arahan Bukit Aman bagi menjalankan pemeriksaan ke atas semua premis berkenaan, khususnya bagi mengesan sama ada terdapat penjualan v**e yang mengandungi dadah atau substans terlarang.
“Jadi satu operasi seperti di bawah arahan Bukit Aman telah dikeluarkan untuk kita membuat pemeriksaan terhadap semua premis tersebut. Bagi aspek narkotik, kita lebih memberi perhatian sekiranya premis berkenaan menjual v**e yang mengandungi dadah atau substans,” katanya.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada premis menjual v**e yang mengandungi dadah atau substans terlarang. Sebaliknya, hanya beberapa pelanggaran kecil berkaitan syarat pelesenan dikesan.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat One Stop Committee (OSC) Menangani Dadah dan Substans yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di Kuching hari ini.
Tambahnya, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemantauan terhadap premis v**e di seluruh negeri kekal berkesan.
Wartawan/Foto : VONNESIA