21/10/2021
HIBAH
Hibah dan wasiat merupakan dua instrumen penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Hibah ialah pemberian harta yang berlaku semasa hidup pemberi hibah, sedangkan wasiat ialah pemberian harta yang berlaku selepas kematian pewasiat.
Kedua-dua instrumen ini digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta. Melalui hibah dan wasiat juga dapat membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan. Terdapat tanggapan bahawa dengan melakukan hibah dan wasiat maka dia telah menyalahi ketepatan hukum faraid. Tanggapan ini tidak tepat kerana kedua-dua instrumen ini juga sebenarnya diberi fokus dan tempatnya yang tersendiri di dalam Islam.
KONSEP HIBAH DALAM ISLAM | PENGERTIAN HIBBAH
HIBAH DARI SEGI BAHASA
Bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah p**a ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.
HIBAH DARI SEGI ISTILAH
Ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala diakhirat dan memuliakan seseorang, dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hibah adalah seperti berikut:
Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah. Ia dibuat secara sukarela tanpa paksaan.
Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang tertentu
HUKUM DAN PENSYARIATAN HIBAH
Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ ayat 4).