16/05/2024
𝐊𝐢𝐬𝐚𝐡 𝐈𝐧𝐬𝐩𝐢𝐫𝐚𝐬𝐢 Hastla Empire
Mohamad Hasmady bin Hassan mula berniaga secara kecil-kecilan dengan mernjual nasi lemak, mengambil upah menggunting rambut dan membaiki telefon bimbit. Namun itu tidak menjadi penghalang untuk beliau terus menanam cita-cita untuk membuka kedai membaiki telefon suatu hari nanti.
Ilmu dan kemahiran beliau dalam membaiki telefon bimbit amat terhad pada ketika itu kerana beliau hanya mampu belajar dari sumber-sumber atas talian seperti YouTube. Selepas menyertai program yang ditawarkan oleh empowerNCER, beliau diberikan bimbingan, panduan serta bantuan untuk mengasah kemahiran sehinggakan beliau merasa lebih yakin untuk membuka kedai baiki telefon miliknya sendiri.
Beliau berjaya membuka kedai sendiri di Tanjung Bunga pada tahun 2023, yang menawarkan servis membaiki telefon, menjual aksesori telefon serta menyediakan perkhidmatan sewaan komputer riba. Dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dari tenaga pengajar empowerNCER, beliau kini mampu menguruskan perniagaannya dengan baik, bahkan telah mula berniaga secara atas talian melalui teknik pemasaran seperti "Google Shop".
Perkhidmatan yang ditawarkan sangat berkualiti dan ia terbukti apabila servis beliau mendapat permintaan yang tinggi terutamanya dari pelancong-pelancong luar. Beliau juga telah berjaya membuka sebuah lagi kedai yang mula beroperasi pada April 2024, menandakan pertumbuhan dan perkembangan perniagaannya yang pesat.
Selain itu, Hasmady juga turut berjinak-jinak dalam servis AI Robotik, menunjukkan semangat untuk terus mengadaptasi teknologi baru dalam perniagaannya. Semangat dan perjuangan beliau menjadi inspirasi bagi sesiapa yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan. Tahniah diucapkan atas pencapaian dan juga berkat bimbingan dan dorongan yand diberikan oleh empowerNCER supaya perniagaan beliau bertambah maju.