15/10/2022
assalamualaikum salam hujung minggu.
Perbezaan dan Pemahaman Network 1G, 2G, 3G, 4G, 5G.
•Teknologi 1G
Komunikasi 1G merujuk kepada teknologi selular generasi pertama yang diperkenalkan pada 1980an. Teknologi 1G menggunakan sistem analog yang mana pengguna boleh menerima dan membuat panggilan telefon di mana sahaja selagi mempunyai liputan dari pemancar radio selular. Sebelum telefon selular diperkenalkan, panggilan telefon hanya boleh dibuat di rumah atau di pejabat. penggunaan sistem ini terhad kepada suara sahaja.
•Teknologi 2G
Seterusnya ialah teknologi 2G iaitu teknologi selular generasi kedua yang diperkenalkan dalam dekad 1990an. Teknologi 2G menggunakan sistem digital yang mana prestasinya lebih baik berbanding 1G. Contoh sistem tersebut yang digunakan di Malaysia adalah GSM. Tetapi penggunaannya adalah untuk suara sahaja.
Bagaimanapun, GSM telah ditambah baik kepada sistem yang dinamakan General Packet Radio Services (GPRS) bagi membolehkan penghantaran data di buat melalui sistem selular. Dengan penggunaan GPRS, penghantaran dan penerimaan data boleh dibuat melalui sistem selular dengan kelajuan sehingga 100 kilobit sesaat (kbps) dan dinamakan sebagai 2.5G. Daripada GPRS, sistem tersebut telah ditambahbaik lagi ke EDGE atau Enhanced Data for GSM Evolution dan dinamakan sebagai 2.75G dan boleh menghantar dan menerima data sehingga 384 kbps. Sistem 2G menggunakan teknologi TDMA (Time Division Multiple Access)
•Teknologi 3G
3G p**a merupakan teknologi selular generasi ketiga yang diperkenalkan pada tahun 2000. Kelebihan 3G ialah ia boleh digunakan untuk suara dan data sehingga kelajuan 2Mbps. Teknologi 3G juga membolehkan kita membuat panggilan video selain suara dan data dan merupakan piawaian yang global berbanding dengan 1G atau 2G. Sebagai contoh jika kita ke Jepun atau Korea, panggilan telefon tidak boleh dibuat dengan menggunakan teknologi 2G, sebaliknya teknologi 3G membolehkan kita membuat panggilan telefon ke seluruh dunia. Perkembangan seterusnya ialah Sistem 3G juga yang dipanggil WCDMA atau Wideband Code Division Multiple Access. Sistem tersebut telah ditambah baik kepada High Speed Downlink Packet Access (HSDPA) dan High Speed Uplink Packet Access (HSUPA). HSDPA boleh mencapai kelajuan sehingga 14 Mbps dan HSUPA boleh mencapai kelajuan sehingga 5Mbps. Seterusnya, penambahbaikan telah dibuat yang mana kelajuan telah mencapai sehingga 28Mbps yang dinamakan sebagai HSPA + (High Speed Packet Access). 3G mengunakan teknologi yang dinamakan CDMA (Code Division Multiple Acces).
•Teknologi 4G
4G merupakan teknologi selular generasi keempat yang menggunakan teknologi Evolusi Jangka Panjang (LTE). Kelajuan teknologi LTE boleh mencapai sehingga 100Mbps. Teknologi yang digunakan oleh LTE adalah OFDMA (Orthogonal Frequency Division Multiple Access). LTE merupakan evolusi dari HSPA+.
Selain kelajuan yang tinggi, teknologi tersebut dapat menampung lebih ramai pengguna berbanding dengan 3G iaitu lebih kurang tiga kali ganda. Selain itu, kos penggunaan data adalah lebih murah dengan kelajuan yang lebih tinggi. Kesimp**annya, perbezaan antara 1G, 2G, 3G dan 4G adalah kelajuan capaian data atau capaian Internet adalah jauh lebih tinggi.
Sebagai contoh kelajuan capaian internet bagi 3G adalah tiga kali ganda lebih laju dari 2G. Kelajuan capaian data bagi 4G adalah tiga kali ganda dari 3G.
Kini, syarikat pengeluar telefon pintar sedang berlumba-lumba mengeluarkan produk yang menyokong LTE sejak beberapa tahun lepas.
•Teknologi 5G
5G adalah teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima yang merupakan lanjutan daripada generasi sebelumnya daripada 1G ke 4G, Akan tetapi, teknologi 5G mempunyai keupayaan yang nyata berbeza berbanding teknologi sebelumnya. Pada zaman teknologi 1G dan 2G, sambungan dibuat bagi tujuan menyampaikan perkhidmatan suara, diikuti dengan 3G untuk sambungan data mudah alih manakala teknologi 4G dibangunkan untuk internet mudah alih, manakala teknologi 5G p**a mempunyai keupayaan untuk mengubah fungsi teknologi mudah alih kepada masyarakat.
Tiga sifat utama 5G iaitu; kelajuan yang tinggi, kadar lengahan yang rendah (1milisaat) dan mampu menghubungkan lebih banyak peranti bagi setiap 1 km persegi. Kelajuan 5G yang mencecah 1.5GB sesaat ini bukan sahaja mampu memberikan pengalaman internet berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda berbanding teknologi 4G, ia juga datang dengan sambungan yang lebih berkualiti.
Ini bermakna anda hanya perlu beberapa saat untuk menyiapkan muat turun filem kegemaran pada kualiti HD. Kalau sebelum ini, kadar lengahan (atau lebih dikenali sebagai latency) pada sekitar 20 milisaat, melalui teknologi 5G, kadar lengahan ini menjadi sangat minimum iaitu sekitar 1 milisaat. Kadar lengahan ini membolehkan kawalan peranti pada jarak jauh menjadi lebih cekap dan jitu.
Selain itu, teknologi 5G juga mampu menghubungkan sejuta peranti pada keluasan satu kilometer persegi berbanding teknologi LTE yang hanya mampu menghubungkan 1,000 peranti dalam keluasan sama.
Semoga memberi manfaat.