20/12/2025
Xiaomi & Leica Kukuhkan Kerjasama Global
Xiaomi 17 Ultra Bakal Guna Lensa Telefoto Leica APO dan Sensor Utama 1 Inci
Xiaomi Group bersama Leica Camera AG secara rasmi mengumumkan fasa baharu dalam kerjasama strategik global mereka. Kali ini, kerjasama tersebut dinaik taraf daripada sekadar βpenyelidikan dan pembangunan bersamaβ kepada satu pendekatan baharu yang dinamakan model penciptaan strategik bersama (strategic co-creation).
Telefon pertama yang akan menggunakan pendekatan baharu ini ialah Xiaomi 17 Ultra.
Model Penciptaan Strategik Bersama
Melalui model ini, Xiaomi dan Leica bekerjasama dengan lebih mendalam dari peringkat awal pembangunan produk. Ia bukan lagi sekadar berkongsi teknologi, tetapi menggabungkan kepakaran Leica dalam optik profesional, falsafah estetika fotografi, serta pengalaman interaksi pengguna terus ke dalam reka bentuk kamera telefon.
Kedua-dua syarikat menyasarkan untuk mentakrifkan semula pengalaman fotografi mudah alih dengan menolak batasan sedia ada, hasil gabungan kekuatan teknologi Xiaomi dan warisan fotografi Leica.
Sistem Optik & Perkakasan Baharu
Antara tarikan utama Xiaomi 17 Ultra ialah penggunaan lensa telefoto Leica APO pertama dalam dunia telefon pintar.
Lensa APO (Apochromatic) terkenal dalam industri fotografi profesional kerana keupayaannya mengurangkan masalah βchromatic aberrationβ (pinggiran warna), sekali gus menghasilkan imej yang lebih tajam, tepat dan berkualiti tinggi. Membawa teknologi ini ke dalam telefon pintar dianggap satu lonjakan besar dalam fotografi telefoto mudah alih.
Selain itu, Xiaomi 17 Ultra turut dilengkapi dengan sensor kamera utama bersaiz 1 inci generasi baharu, yang direka khusus untuk kegunaan mudah alih. Gabungan ini dijangka menawarkan:
Kualiti imej lebih bersih dan jelas dalam keadaan cahaya rendah dan fotografi malam
Perincian lebih tepat dalam situasi kontras tinggi
Lebih banyak kebebasan kreatif untuk rakaman telefoto
Pelancaran & Ketersediaan
Ciri kamera baharu ini akan diperkenalkan secara eksklusif pada Xiaomi 17 Ultra. Maklumat lanjut dijangka didedahkan minggu hadapan sempena pelancarannya di China.
Untuk pasaran global, telefon ini dijangka dilancarkan pada awal Mac sempena acara MWC 2026, memandangkan peranti tersebut telah pun menerima pensijilan FCC.
Menurut Lu Weibing, Rakan Kongsi Xiaomi Group, Presiden Bahagian Telefon Mudah Alih dan Pengurus Besar Jenama Xiaomi, pelancaran Xiaomi 17 Ultra bukan sahaja menandakan kemasukan Xiaomi ke segmen ultra-premium dengan lebih agresif, malah melengkapkan strategi baharu syarikat yang menumpukan pelepasan semua model utama berstatus flagship dalam tahun yang sama.